Monday, September 29, 2014

Ciri - Ciri Pembuli dan Mangsa


pic credit to owner
 Buli yang ingin dibincangkan di sini adalah melibatkan pelajar sekolah sama ada peringkat rendah mahupun peringkat menengah. Seseorang pembuli iaitu orang yang melakukan kegiatan buli biasanya mempunyai fizikal yang lebih besar berbanding orang yang dibuli. Jika di sekolah, biasanya pelajar yang lebih tua seperti pelajar tingkatan tiga, empat, dan lima lebih cenderung terlibat dalam kegiatan buli kerana merasakan mereka lebih besar daripada orang yang dibuli. Pembuli juga biasanya terdiri daripada pelajar yang sebaya umurnya dan mereka membuli dalam kumpulan. Dengan cara ini, mereka merasa lebih kuat dan sukar digugat oleh pelajar lain terutama pelajar yang ingin dibuli. Pelajar yang kerap dibuli pelajar yang bertubuh kecil, pelajar baru atau pelajar yang kerap mendapat pujian dan perhatian guru di dalam kelas.

Pengenalan Tentang Buli

Buli berdasarkan Kamus Dewan (2007) bermaksud perbuatan mendera, mempermainkan seseorang supaya dapat menyesuaikan diri dengan suasana yang baru atau membuli untuk mempermainkan orang, biasanya orang yang lemah, dengan tujuan untuk menggertak, mencederakan, menakutkan dan sebagainya. Buli bersangkut-paut dengan kesantunan kerana buli merupakan kegiatan negatif yang boleh menimbulkan perasaan tidak puas hati kepada orang yang dibuli sedangkan kesantunan mempunyai konsep melaksanakan sesuatu tanpa menyebabkan pihak lain terasa hati.

Menurut Wikipedia iaitu sebuah ensiklopedia bebas, buli bermaksud perbuatan mengasari orang yang lemah dengan tujuan atau maksud untuk menunjukkan kekuatan masing-masing. Ini secara tidak langsung, menjadikan mereka yang lemah mematuhi atau menghormati mereka yang kuat. Ada maksud lain yang menyatakan bahawa buli bermaksud tingkah laku agresif sama ada dalam bentuk fizikal atau psikologi yang dilakukan secara berulang kali ke atas mangsa dan ia bertujuan mendatangkan perasaan tidak selesa, aman, tenteram dan harmoni. Secara keseluruhannya, perbuatan membuli merupakan perbuatan yang tidak baik serta boleh membuatkan orang lain boleh menjadi mangsa serta boleh mendatangkan ketidakselesaan kepada orang lain yang seterusnya menghapuskan nilai kesantunan terhadap individu pembuli itu.

Berdasarkan kajian yang saya lakukan, buli juga bermaksud mengasarinya berulang kali dan mendatangkan perasaan tidak puas hati kepada orang yang lebih lemah daripadanya atas beberapa faktor. Buli boleh berlaku secara fizikal iaitu secara langsung mahupun mental iaitu secara tidak langsung. Buli dari sudut fizikal bermaksud mengasari tubuh badan seseorang dengan pelbagai cara sama ada menggunakan objek ataupun tubuh badan seperti memukul, menendang, mencubit, menumbuk, memeras ugut dan sebagainya. Buli dari sudut mental pula boleh berlaku dari segi perkataan iaitu menghina, mengejek, mentertawakan, memulaukan serta perbuatan yang menganiaya seperti mengusik dengan cara yang keterlaluan dan sebagainya yang boleh menyebabkan orang yang dibuli itu berasa tertekan atau terhina.



Originally by: Samihah Nordin

Wednesday, September 24, 2014

BAHASA MELAYU MODEN


Konsep Bahasa Melayu Moden

o   Bermula pada abad ke-19 setelah kedatangan penjajah Eropah
o   Hasil karya Munsyi Abdullah dianggap sebagai permulaan zaman Bahasa Melayu moden
o   Sebelum penjajahan British, Bahasa Melayu mempunyai kedudukan tertinggi
o   Melalui karya Kitab Adat Segala Raja-raja Melayu dalam Segala Negeri (1837), Hikayat Abdulah (1838), Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan (1838), dan Kisah Pelayaran Abdulah ke Jeddah (1854) 

Sejarah Perkembangan Bahasa Melayu Moden
o   Bahasa Melayu Moden Pramerdeka

     Sebelum merdeka, Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi di Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Selat.
     Merupakan zaman peralihan antara zaman bahasa Melayu klasik dengan zaman bahasa Melayu moden.
     Pegawai-pegawai Inggeris yang bertugas di Negeri-negeri Selat perlu lulus peperiksaan bahasa Melayu.
     Pegawai Inggeris minat terhadap bahasa Melayu dan membuat kajian, antaranya R.O Winstedt, R.J. Wilkinson, O.T. Dussek dan W. Marsden.
     Usaha mengembangkan bahasa Melayu turut dilaksanakan oleh tokoh tempatan iaitu, Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi, Raja Ali Haji, Mejar Dato’ Haji Mohd. Said, dan Zainal Abidin Ahmad berkaitan dengan persoalan bahasa, antaranya aspek ejaan, nahu Melayu, dan bidang perkamusan.

o   Bahasa Melayu Moden Pascamerdeka
     Agak berbeza dari zaman pramerdeka berdasarkan dasar bahasa yang mengubah peranan dan kedudukan bahasa Melayu kerana bahasa Inggeris diangkat menjadi bahasa pengantar.
     Para nasionalalis yang menuntut kemerdekaan mahu menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.
     Usul ini membawa kepada Suruhanjaya Reid dalam membentuk Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.
     Setelah merdeka, Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 (bahasa Kebangsaan) menyatakan "Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagi negara merdeka".
     Akta Bahasa Kebangsaan 1957 menyatakan yang Bahasa Melayu digunakan dalam semua urusan rasmi negara.
     Akta Pendidikan 1961 menetapkan bahasa penghantarnya ialah Bahasa Melayu.

Perkembangan Sistem Tulisan dan Ejaan
Sistem Tulisan Rumi

Ø Tulisan Rumi berasaskan huruf Roman a-b-c.
Ø Aturan ejaan bagi Tulisan Rumi yang digunakan dalam bahasa Melayu mutakhir pula ialah Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Malaysia (selanjutnya disebut SERBBM) yang dirasmikan penggunaannya pada 16 Ogos 1972.
Ø Sistem ini merupakan aturan ejaan Rumi bersama bagi bahasa Melayu di Malaysia dan bahasa Indonesia, iaitu sistem yang berasaskan aturan ejaan yang dirumuskan oleh Jawatankuasa Ejaan (Rumi) Bersama pada tahun 1967.
Ø Perkembangan dalam sistem ejaan rumi adalah sebahagian daripada perkembangan dalam bahasa Melayu di Tanah Melayu dan di Kepulauan Timur Belanda.
Ø Keperluan kepada sistem ejaan Rumi menjadi penting pada awal abad ke- 20 kerana ejaan Jawi tidak dapat menggambarkan sistem bunyi bahasa Melayu yang sebenar bagi mereka yang tidak dapat memahaminya. Ianya menjadi lebih penting apabila bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar dalam sistem sekolah rendah atau sekolah dasar.

Sistem Tulisan Jawi

Ø Tulisan Jawi berasaskan huruf Arab alif-ba-ta.
Ø Aturan ejaan bagi Tulisan Jawi yang digunakan dalam bahasa Melayu sekarang ialah Sistem Ejaan Jawi Yang Disempurnakan yang disahkan penggunaannya bermula pada tahun 1996.
Ø  Kita boleh melihat sistem ejaan Jawi tersebut dalam beberapa dokumen rasmi yang telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ø Tulisan jawi berpunca daripada nama umum yang diberi kepada orang jawa oleh pendagang arab yang singgah.oleh sebab mereka tidak dapat membezakan antara orang melayu dengan orang jawa,  maka mereka menggangap orang melayu dan orang jawa ini sebagai orang jawi. Justeru itu, tulisan yang jawi adalah tulisan yang dapat membezakannya dengan  tulisan arab.

Ciri-Ciri Bahasa Melayu Moden

§  Bahasa Melayu Moden telah mencapai status bahasa kebangsaan.
§  Bahasa Melayu dilihat sebagai mekanisma lengkap untuk mengungkapkan
aspek-aspek abstrak,penyataan perasaan dan emosi,kemurnian berkarya dan kehalusan bahasa dalam penulisan sastera.
§  Bahasa Melayu mudah dilentur mengikut keadaan dan keperluan.
§  Bahasa Melayu juga dianggap bersifat sejagat.
§  Bahasa Melayu sebagai bahasa yang sangat mudah dipelajari adalah disebabkan oleh sistem fonologi yang amat mudah.

Perbezaan Bahasa Melayu Klasik Dengan Bahasa Melayu Moden

BAHASA MELAYU KLASIK
BAHASA MELAYU MODEN
Tiada perancangan bahasa
Melalui proses perancangan bahasa yang pesat
Banyak dipengaruhi bahasa Arab
Banyak menerima pengaruh bahasa Inggeris
Menggunakan laras bahasa sastera lama
Menggunakan laras bahasa yang lebih pelbagai
Banyak menggunakan ayat pasif dan ayat songsang
Banyak menggunakan ayat aktif
Banyak memanfaatkan bahasa istana/bahasa dalam
Banyak memanfaatkan kosa kata bahasa moden

Fungsi Bahasa Melayu Moden
1) Bahasa Kebangsaan
·        Bahasa utama di Malaysia.
·        Termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 152.
2) Bahasa Rasmi
·        Digunakan dalam urusan rasmi negara.
·        Sebagai alat komunikasi dalam pemerintahan,perundangan,pendidikan dan
Perdagangan.
3) Bahasa Perpaduan
·        Alat komunikasi antara kaum.
·        Menyelaraskan bahasa.
4) Bahasa Pengantar
·        Digunakan dalam pendidikan.
·        Bagi sekolah rendah,menengah dan institusi pengajian tinggi.
5) Bahasa Ilmu
·        Pengaruh bahasa lain dalam bahasa Melayu.
·        Digunakan dalam pendidikan.
6) Bahasa Komunikasi
·        Menghubungkan antara kaum.
·        Percakapan harian.

Masalah Konlik Palestin-Israel


BAITULMAQDIS

Israel tidak mahu membahagikan Baitulmaqdis yang kononnya dianggap sebagai pusat politik dan agama orang Yahudi berdasarkan Undang-undang Asas Israel. Ketika rundingan pada 2000 dan 2007, rejim Zionis mencadangkan pertukaran beberapa kawasan tambahan terpencil.
Palestin mahu menjadikan Baitulmaqdis Timur yang pernah diduduki Jordan sebelum dikuasai Israel pada 1967 sebagai ibu negara selepas penubuhan negara itu.

GARIS SEMPADAN 1967

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pernah bersetuju untuk menggunakan garis sempadan 1967 sebagai asas rundingan semula jika Palestin membatalkan usaha untuk memohon keanggotaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2011. Bagaimanapun, segelintir anggota Parti Likud pimpinan Netanyahu menolak idea penyelesaian dua negara untuk menamatkan konflik sejak lebih empat dekad lalu. Palestin menetapkan rundingan terbaru itu perlu berdasarkan garis sempadan 1967, bermakna Baitulmaqdis Timur, Tebing Barat dan Gaza yang akan membentuk sebuah negara.  

PENEMPATAN HARAM YAHUDI

Palestin terus menggesa Israel supaya menghentikan pembinaan penempatan haram Yahudi di Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat, namun rejim angkuh itu tetap mengambil tindakan provokasi. Mereka sengaja meluluskan lebih banyak projek pembangunan di kawasan terbabit hingga mencetuskan kemarahan penduduk Palestin kerana tanah dirampas dan rumah mereka dirobohkan sewenang-wenangnya. Israel juga enggan memperbaharui pembekuan separa penempatan sebagai pra-syarat untuk kembali ke meja rundingan. Ia terus menjadi punca utama rundingan damai antara kedua-dua negara itu tertangguh hingga kini.

PELARIAN PALESTIN

Israel menolak idea bahawa pelarian Palestin yang terpaksa meninggalkan negara itu akibat pencerobohan Israel yang turut digelar sebagai Hari Nakba (Malapetaka) untuk kembali pulang ke kampung halaman mereka. Menurut Israel, tindakan tersebut kononnya akan memusnahkan demografi wilayah Israel. Palestin tetap mengekalkan tuntutan hak untuk kembali dan enggan mengiktiraf konsep yang menganggap Israel sebagai sebuah negara Yahudi.

KESELAMATAN

Israel khuatir jika negara Palestin akan jatuh ke tangan gerakan Hamas atau digunakan untuk menyerang rejim Zionis. Mereka mengambil langkah meluaskan kawalan keselamatan termasuk di Lembah Jordan. Bagaimanapun, Palestin berpendapat isu keselamatan itu hanya dapat dicapai melalui penyelesaian dua negara.

KRONOLOGI RUNDINGAN DAMAI PALESTIN - ISRAEL 1993

1991
1 Nov: Persidangan Damai Madrid menetapkan rangka kerja proses damai

1993
13 September: Israel dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) menandatangani Deklarasi Prinsip Autonomi selepas beberapa bulan berunding secara  rahsia di Oslo.

1994
4 Mei: Perdana Menteri Israel, Yitzhak Rabin dan Presiden Palestin, Yasser Arafat menandatangani perjanjian autonomi di Kaherah. Proses rundingan damai itu tergendala selepas Rabin dibunuh pada 1995.

2000
11-25 Julai: Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton menjadi tuan rumah menganjurkan rundingan antara Arafat dan Perdana Menteri Ehud Barak di Kem David yang membincangkan isu berkaitan Baitulmaqdis dan pelarian Palestin yang didakwa telah mencetuskan intifada (kebangkitan). 

2001
21 Januari: Rundingan di Taba, Mesir gagal untuk memulihkan proses damai.

2003
4 Jun: Pelancaran pelan tindakan untuk menubuhkan negara Palestin pada 2005 pada sidang kemuncak di Jordan yang dihadiri Presiden AS, George W Bush, Perdana Menteri Ariel Sharon dan Perdana Menteri Palestin, Mahmoud Abbas.  

2005
2 Feb: Sharon dan Mahmoud mengadakan pertemuan di Sharm el-Sheikh, Mesir dan mengisytiharkan untuk menamatkan permusuhan.

2007
27 November: Mahmoud dan Perdana Menteri Ehud Olmers memulakan semula rundingan secara rasmi di Annapolis, Maryland.

2008
27 Disember: Israel melancarkan tindakan ketenteraan selama 22 hari ke atas Genting Gaza hingga menyebabkan Palestin terpaksa menangguhkan rundingan.

2010
2 September: Presiden AS, Barack Obama melancarkan rundingan langsung di Rumah Putih bersama Mahmoud dan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.
26 September: Pembekuan sebahagian projek penempatan haram di Tebing Barat ditamatkan, sekali gus menyebabkan rundingan langsung gagal.

2011
19 Mei: Obama mengesyorkan supaya pembentukan negara Palestin dibuat berdasarkan sempadan 1967 meliputi kawasan Tebing Barat, Genting Gaza dan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, namun ia ditolak oleh Netanyahu.

23 September: Kuartet dianggotai AS, Rusia, Kesatuan Eropah dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan rancangan untuk melancarkan semula rundingan termasuk dialog semula dalam tempoh sebulan serta komitmen untuk mencapai perjanjian damai menjelang akhir 2012.

31 Oktober: Palestin diterima sertai Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco). Israel mengumumkan pembinaan 2,000 unit rumah di Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat serta membekukan dana Pihak Berkuasa Palestin (PA).

2012
3 Januari: Perunding Palestin dan Israel mengadakan pertemuan rahsia di Jordan.

10 Jun: Pegawai dari kedua-dua negara dikatakan telah mengadakan sesi dialog secara rahsia.

2013
30 April: Liga Arab menandakan satu aras dalam Inisiatif Keamanan Arab 2002 yang menggabungkan idea berkaitan pertukaran tanah secara bersama.

18 Julai: Pegawai Palestin mengumumkan rundingan damai bersama Israel tidak semata-mata bergantung kepada keputusan rejim Zionis yang bersetuju untuk menghentikan projek penempatan haram mereka. 

19 Julai: Pada lawatan akhir Kerry di Timur Tengah, beliau mengumumkan satu perjanjian telah dicapai untuk menyambung semula rundingan antara Palestin dan Israel.

Tuesday, September 23, 2014

Pendidikan Khas... Apakah ?

Secara umumnya, pendidikan khas merupakan suatu bidang yang berkaitan dengan kaedah, teknik dan penyelidikan yang tersendiri ke arah pengurusan dan pembelajaran yang baik bagi menilai dan mematuhi kehendak-kehendak khas dari segi praktiknya pendidikan khas merupakan pendidikan individual dengan kaedah-kaedah pengurusan yang bersistematik dari segi susunan fizikal, alatan-alatan khas dan kaedah pengajaran khas.

credit to the owner :)
Pendidikan khas ini di sediakan untuk kanak-kanak berkeperluan khas iaitu kanak-kanak yang mempunyai kemampuan dan kemahiran yang berbeza daripada kanak-kanak lain. Krik et. el (1993) mendefinisikan kanak-kanak berkeperluan khas sebagai kanak-kanak yang berbeza dari kanak-kanak sederhana atau biasa dalam ciri-ciri saraf dan otot-otot fizikal selain berbeza dalam tingkah laku sosial dan emosi, serta keupayaan komunikasi atau pelbagai kekurangan sehinggakan ia memerlukan amalan-amalan sekolah yang perlu diubahsuai atau mendapatkan perkhidmatan-perkhidmatan pendidikan khas supaya ia boleh berkembang sehingga kemampuan yang maksimum. Antara golongan kanak-kanak berkeperluan khas ialah kerencatan akal, masalah penglihatan, masalah pendengaran, masalah tingkah laku/emosi, Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD), serta masalah kesihatan yang merangkumi pelbagai masalah fizikal yang menjejaskan kemampuan mereka untuk menjadi seperti kanak-kanak normal yang lain.


Justeru dalam membantu golongan kanak-kanak berkeperluan khas ini, pelbagai khidmat sokongan diperlukan dalam menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan pendidikan khas di negara ini. Merujuk kepada konteks yang bakal dibincangkan iaitu kolaborasi antara pelbagai pihak dan agensi, banyak melibatkan peranan guru biasa iaitu pihak sekolah, kementerian dan pelbagai agensi kerajaan, agensi bukan kerajaan (NGO), pihak komuniti, individu atau pakar, serta pihak swasta.
Semua pihak dan agensi tersebut banyak memainkan peranan dalam menyediakan bantuan dan sokongan bagi mengembangkan kemampuan kanak-kanak berkeperluan khas ini sehingga ke tahap yang maksimum.

Saturday, September 13, 2014

Suka Makan !

Gemuklah makan banyak. Memang ! Kan... makan banyak ni bukan buruk untuk jasad lahir je, tapi juga satu penyakit batin yang bahaya !. Allah berfirman :

"Makan oleh kamu akan makanan dan minum oleh kamu akan minuman dan jangan kamu membanyakkan makan dan minum, bahawasanya, Allah tidak akan kasih akan orang yang membanyakkan makan dan minum."

Dalam kitab Taurat Allah juga menegaskan bahawa Allah benci pada orang alim yang gemuk. Menurut Abdullah Ibn Mas'ud pula, Allah membenci qari yang gemuk. Ini adalah natijah daripada penyakit cinta makanan yang boleh mendatangkan banyak keburukan. Antara keburukan cinta makan ialah :

1. Makan hingga terlampau kenyang akan mengakibatkan kurang akal, buta hati dan mematikan hati.

2. Kenyang akibat banyak makan akan membuka pintu neraka. Apabila seseorang itu kenyang maka akan timbul penyakit-penyakit batin yang lains eperti suka hati, membesarkan diri dan lain-lain yang sudah tentu menjerumuskan diri ke dalam neraka.

3. Kenyang menyebabkan seseorang itu melupakan orang yang lapar di dunia dan melupakan dirinya sendiri di Akhirat.

4. Zun Nun Al Misri berkata, "Kenyang menyebabkan aku bercita-cita untuk membuat maksiat."

5. Imam Al-Ghazali berkata, " Banyak makan, banyak minum, banyak tidur akan memendekkan umur, luput solat tahajjud, mengurangkan akal dan mengeraskan hati. Banyak tidur akan mematikan hati iaitu punca kepada segala kebinasaan."

6. Rasulullah SAW bersabda, "Perut yang penuh dengan makanan itu punca segala penyakit. Kosong perut itu punca segala ubat."

7. Banyak makan memerlukan harta yang banyak. Di dalam usaha untuk mendapat harta yang banyak, selalu berlaku pelanggaran syariat yang akan membawa kepada azab Allah.

Seelok-eloknya kita bahagikan perut kepada 3 bahagian. Sepertiga untuk makan, sepertiga untuk minum, sepertiga lagi untuk nafas (udara). Golongan muqarrabin makan hanya untuk memelihara hidup, akal dan ibadah. Sayidina Umar misalnya, hanya makan 7 atau 9 suap sehari semalam yang akan betul-betul memenuhi sepertiga perut.


Cara yang boleh kita lakukan untuk mengatasi penyakit banyak makan ialah :
1. Sediakan hanya dua jenis lauk untuk satu-satu hidangan.

2. Masakan jangan dimasak terlalu sedap. Seelok-eloknya biarlah sederhana. Kalau terlalu sedap, akan menambahkan selera makan.

3. Jangan simpan lebihan makanan di rumah, ini akan membuatkan kita sentiasa teringat-ingat pada makanan tu.

4. Banyakkan puasa-puasa sunat.

5. Makan apabila benar-benar lapar dan berhenti sebelum kenyang.

Rasulullah SAW pun bersabda,
"Jangan kamu mematikan hati itu dengan banyak makan. Maka bahawasanya hati itu seperti tanaman, apabila dibanyakkan akan air biasanya mati ia."
Sekiranya kita hendak makan sedap dan banyak, ajaklah kawan beramai-ramai menjamu selera. Makanan yang dimakan beramai-ramai tidak akan dihisab. Jadi kita dapat 3 keuntungan, makan sedap dan banyak, dapat pahala sedekah, dan tidak dihisab oleh Allah diakhirat kelak !

Indahnya Islam, kan? :D

*sumber artikel sepenuhnya dikreditkan pada Ustaz Wan Ariffin, dalam majalah An-Nasihah edisi September 1991*

Friday, September 5, 2014

Coretan Pertama

Assalamualaikum~
Alhamdulillah ni adalah post pertama saya di entri kali ni.
Permulaanya, blog ini merupakan salah satu tugasan saya dalam kkp subjek Generik Kemahiran Belajar (GKB1053) bagi sem 1, PPISMP di IPG KPM ni.

Mungkin selepas ni saya akan post banyak pasal pelbagai topik yang saya pelajari.

Buat masa sekarang, buat kerja kursus lah dulu..

InsyaAllah pada masa akan datang, banyak lagi akan saya kongsikan (kalau dapat).

Okey, Terima kasih.
Wassalam.

The Meaning Of Alfatihah - Voices of UMMI [lyric]

In the name of Allah, The Beneficent The Merciful All praises be for you Allah Lord of the whole universe The beneficent the merc...