"Makan oleh kamu akan makanan dan minum oleh kamu akan minuman dan jangan kamu membanyakkan makan dan minum, bahawasanya, Allah tidak akan kasih akan orang yang membanyakkan makan dan minum."
Dalam kitab Taurat Allah juga menegaskan bahawa Allah benci pada orang alim yang gemuk. Menurut Abdullah Ibn Mas'ud pula, Allah membenci qari yang gemuk. Ini adalah natijah daripada penyakit cinta makanan yang boleh mendatangkan banyak keburukan. Antara keburukan cinta makan ialah :
1. Makan hingga terlampau kenyang akan mengakibatkan kurang akal, buta hati dan mematikan hati.
2. Kenyang akibat banyak makan akan membuka pintu neraka. Apabila seseorang itu kenyang maka akan timbul penyakit-penyakit batin yang lains eperti suka hati, membesarkan diri dan lain-lain yang sudah tentu menjerumuskan diri ke dalam neraka.
3. Kenyang menyebabkan seseorang itu melupakan orang yang lapar di dunia dan melupakan dirinya sendiri di Akhirat.
4. Zun Nun Al Misri berkata, "Kenyang menyebabkan aku bercita-cita untuk membuat maksiat."
5. Imam Al-Ghazali berkata, " Banyak makan, banyak minum, banyak tidur akan memendekkan umur, luput solat tahajjud, mengurangkan akal dan mengeraskan hati. Banyak tidur akan mematikan hati iaitu punca kepada segala kebinasaan."
6. Rasulullah SAW bersabda, "Perut yang penuh dengan makanan itu punca segala penyakit. Kosong perut itu punca segala ubat."
7. Banyak makan memerlukan harta yang banyak. Di dalam usaha untuk mendapat harta yang banyak, selalu berlaku pelanggaran syariat yang akan membawa kepada azab Allah.
Seelok-eloknya kita bahagikan perut kepada 3 bahagian. Sepertiga untuk makan, sepertiga untuk minum, sepertiga lagi untuk nafas (udara). Golongan muqarrabin makan hanya untuk memelihara hidup, akal dan ibadah. Sayidina Umar misalnya, hanya makan 7 atau 9 suap sehari semalam yang akan betul-betul memenuhi sepertiga perut.
1. Sediakan hanya dua jenis lauk untuk satu-satu hidangan.
2. Masakan jangan dimasak terlalu sedap. Seelok-eloknya biarlah sederhana. Kalau terlalu sedap, akan menambahkan selera makan.
3. Jangan simpan lebihan makanan di rumah, ini akan membuatkan kita sentiasa teringat-ingat pada makanan tu.
4. Banyakkan puasa-puasa sunat.
5. Makan apabila benar-benar lapar dan berhenti sebelum kenyang.
Rasulullah SAW pun bersabda,
"Jangan kamu mematikan hati itu dengan banyak makan. Maka bahawasanya hati itu seperti tanaman, apabila dibanyakkan akan air biasanya mati ia."Sekiranya kita hendak makan sedap dan banyak, ajaklah kawan beramai-ramai menjamu selera. Makanan yang dimakan beramai-ramai tidak akan dihisab. Jadi kita dapat 3 keuntungan, makan sedap dan banyak, dapat pahala sedekah, dan tidak dihisab oleh Allah diakhirat kelak !
Indahnya Islam, kan? :D
*sumber artikel sepenuhnya dikreditkan pada Ustaz Wan Ariffin, dalam majalah An-Nasihah edisi September 1991*
No comments:
Post a Comment